SELAMAT DATANG...WELLCOME


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Followers

Thursday, December 23, 2010

SISTEM KARDIOVASKULAR

Pengenalan sistem kardiovaskular

Sel-sel tubuh tidak mempunyai akses secara langsung kepada persekitaran luar tubuh bagi membolehkan sel-sel tersebut memperolehi keperluan hidup. Oleh yang demikian sel-sel tubuh terpaksa bergantung kepada sistem-sistem organ tubuh untuk kemandiriannya. Sistem kardiovaskular atau kardio respiratori memikul tanggungjawab ini dengan mengangkut oksigen, nutrien dan lain-lain keperluan kepada sel dan membawa keluar sisa-sisa metabolisme serta produk-produk sel ke bahagian lain tubuh.


Komponen-komponen utama sistem kardiovaskular
(a) Jantung
i. Organ yang penting mengepam darah ke seluruh tubuh untuk membekalkan oksigen dan nutrien.
ii. Saiz jantung adalah sebesar penumbuk individu dan beratnya kurang dari satu paun.
iii. Terdapat empat ruang pada jantung iaitu atrium kanan, atrium kiri, ventrikel kanan dan ventrikel kiri.
(b) Darah
i. Tisu cecair yang terdiri daripada pelbagai jenis unsur sel termasuk eritrosit, leukosit dan platlet yang terkandung di dalam plasma.
ii. Lebih kurang 55% daripada isipadu darah ialah plasma dan 45% terdiri daripada eritrosit.
iii. Darah membentuk lebih kurang 7% daripada berat tubuh orang dewasa normal. Seorang dewasa yang berat tubuhnya 70kg, mempunyai kira-kira 5-6 liter darah.
(c) Salur darah
i. Terdiri daripada arteri, vena dan kapilari.
ii. Salur darah membolehkan darah mengalir dan melengkapi peredaran dari jantung ke tisu dan kembali semula ke jantung.


Fungsi sistem kardiovaskular

Sistem Respiratori membantu membekalkan oksigen dan mengkumuhkan karbon dioksida dari darah. Sistem peredaran mengangkut oksigen dari paru-paru ke sel-sel tisu badan dan mengeluarkan karbon dioksida dari sel-sel tisu ke paru-paru. Semasa inspirasi, udara yang mengandungi oksigen masuk ke dalam paru-paru melalui salur pernafasan. Gas oksigen ini akan disimpan sementara dalam alveolus. Jantung mengepam darah nyahoksigen ke paru-paru melalui kitaran pulmonari. Gas-gas oksigen dan karbon dioksida meresap melintasi membran alveolus dan kapilari.

Karbon dioksida dihembus keluar dari paru-paru melalui salur pernafasan. Oksigen yang melintasi membran alveolus dan kapilari akan meresap ke dalam darah. Darah beroksigen diangkut ke jantung dan dipam melalui arteri untuk diagihkan kepada sel-sel tisu badan.
Struktur dan fungsi bahagian-bahagian jantung terbina daripada otot jantung atau miorkardium yang diliputi epikardium di permukaan luarnya dan endokardium di bahagian dalam. Dua ruang atas iaitu atrium mempunyai dinding otot yang nipis dan keduadua ruang ini dipisahkan antara satu sama lain oleh septum interatrial. Dinding otot yang membentuk dua ruang bawah iaitu ventrikel adalah lebih tebal. Septum interventrikel terdapat di antara kedua-dua ventrikel. Atrium berperanan sebagai ruang penerima darah. Atrium kanan menerima darah yang kurang beroksigen daripada tisu-tisu tubuh sementara atrium kiri pula menerima darah yang kaya dengan oksigen dari paru-paru. Ventrikel pula bertindak sebagai pam yang mengepam keluar darah yang diterima dari atrium. Ventrikel kanan mengepam darah ke paru-paru sementara ventrikel kiri mengepam darah ke seluruh bahagian tubuh.

Injap-injap yang terletak antara atrium dan ventrikel dan pada arteri-arteri yang terbit daripada jantung, membenarkan pengaliran darah pada satu arah sahaja. Injap atrioventrikular (injap mistral dan trikuspid) hanya membenarkan aliran darah daripada atrium ke ventrikel sahaja. Injap semilunar pulmonari dan injap semilunar aortik pula menghalang aliran darah ke belakang yang keluar dari jantung menerusi arteri pulmonari dan aorta.

Dinding otot jantung terdiri daripada lapisan epikardium, miokardium dan endokardium. Pada jantung terdapat injap atrioventrikular (AV) dan injap semilunar. Injap atrioventrikular membenarkan darah mengalir ke satu arah sahaja iaitu dari atrium ke ventrikel dan seterusnya ke arteri. Terdapat dua injap (AV) iaitu injap trikuspid pada sebelah kanan jantung dan injap bikuspid pada bahagian kiri jantung.Injap semilunar menghalang pengaliran balik darah dari arteri pulmonari dan aorta. Setiap injap semilunar mempunyai tiga bucu.

Keluaran jantung (O )

Keluaran jantung adalah jumlah isipadu darah yang dipam keluar oleh ventrikel kiri dalam satu minit.
Keluaran jantung boleh diukur dengan menggunakan rumus berikut :
O = KDJ x IS
Keluaran jantung = Kadar Denyutan Jantung Dalam Seminit x Isipadu Strok
Kadar denyutan jantung adalah kekerapan penguncupan jantung seminit. Keadaan ini dikawal oleh tindakan sistem saraf autonomik. Kadar denyutan jantung setiap individu adalah berbeza kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti umur dan tahap keaktifan individu. Kadar denyutan jantung rehat individu yang aktif adalah rendah berbanding dengan individu yang sedentari. Kadar denyutan rehat boleh diperolehi dengan mengira bilangan denyutan jantung seminit di arteri karotid atau arteri radius semasa individu berada dalam keadaan rehat. Isipadu strok ialah amaun darah yang dipam oleh ventrikel kiri. Isipadu ini disukat dalam unit liter sedenyutan. Isipadu strok lelaki adalah lebih besar berbanding isipadu strok perempuan. Kedudukan badan juga mempengaruhi isipadu strok. Isipadu strok adalah agak besar pada individu yang berbaring berbanding dengan individu yang berdiri. Perbezaan ini berkaitan dengan kesan graviti ke atas sistem kardiovaskular.

Contoh:
Keluaran jantung individu yang mempunyai kadar denyutan rehat sebanyak
72 denyutan seminit dan isipadu strok sebanyak 70ml ialah 5L/ min.
O = KDJ x IS
= 72 x 0.07
= 5.04
= 5L / min
Sistem Peredaran darah

Peredaran Darah terbahagi kepada kitaran pulmonari dan kitaran sistemik.

Kitaran sistemik
Kitaran sistemik membolehkan darah beroksigen serta nutrien dibawa ke organ-organ badan dan membawa darah nyahoksigen kembali ke jantung.
Kitaran pulmonari
Peredaran darah dalam kitaran ini membawa darah nyah oksigen ke paru-paru untuk pertukaran gas sebelum darah beroksigen dikembalikan ke jantung. Faktor-faktor yang mempengaruhi kembalian darah ke jantung
Apabila otot-otot menguncup, vena tertekan dan darah dalamnya ditolak ke arah jantung. Injap-injap pada vena menghalang darah daripada mengalir ke arah belakang. Ia hanya membenarkan darah
mengalir satu arah iaitu ke jantung.Semasa otot-otot mengendur, vena-vena tersebut akan dipenuhi semula dengan darah. Proses penguncupan dan pengenduran otot membolehkan darah dialirkan ke jantung. Semasa inspirasi, tekanan intratorasik menurun menyebabkan vena darah dalam rongga toraks mengembung dan ini memaksa darah mengalir ke arah atrial kanan jantung. Apabila tekanan intratorasik meningkat semasa ekspirasi, vena-vena tersebut dipenuhi semula dengan darah nyahoksigen. Semakin tinggi tekanan ini, semakin
banyak output jantung. Pernafasan yang membantu keluaran jantung dikenali sebagai “pam pernafasan”.


Mengukur tekanan darah
Tekanan merupakan daya yang mengedarkan darah dalam sistem peredaran. Darah mengalir dari bahagian tekanan tinggi ke bahagian tekanan rendah.(tekanan darah ) Contohnya, apabila ventrikel menguncup, ia
menghasilkan tekanan yang lebih tinggi daripada tekanan di aorta. Darah dari ventrikel kiri ditolak keluar ke aorta dan lain-lain saluran darah sistemik dan ke bahagian kanan jantung. Tekanan darah manusia boleh diukur dengan menggunakan sfigmomanometer. Tekanan darah berbeza menurut jantina, umur,
gerak kerja dan lain-lain. Atrium-atrium menguncup serentak pada jantung yang normal. Apabila atrium mengendur, ventrikel-ventrikel pula menguncup. Penguncupan jantung dikenali sebagai sistolik dan pengenduran jantung dikenali sebagai diastolik. Tekanan darah sistolik ialah tekanan darah tertinggi yang disukat semasa penguncupan ventrikel. Tekanan darah diastolik merupakan tekanan darah minimum pada akhir pengenduran ventrikel. Tekanan darah diukur dalam unit mm Hg (milimeter merkuri).
Tekanan darah normal ialah 120/80mm Hg.
Kaedah mengukur tekanan darah:
(a) Balut lengan atas dengan menggunakan kuf tekanan darah.
(b) Balut beg getah/kuf pada arteri brakial.
(c) Stetoskop diletak bawah kuf di atas arteri.
(d) Udara dipam ke dalam kuf sehingga tekanan di dalam kuf melebihi tekanan dalam arteri (lebih kurang 200mm Hg). Tekanan ini menyebabkan sekatan pada pengaliran darah dan denyutan nadi tidak dapat dikesan.
(e) Dengan membuka injap pada pam secara perlahan-lahan tekanan dalam kuf menurun secara beransur-ansur sehingga tekanan maksimum dalam arteri melebihi sedikit tekanan dalam kuf. Sebahagian darah mulai terpancut dalam arteri.
(f) Denyutan perlahan (bunyi karafkoff) kedengaran melalui stetoskop. Bacaan paras merkuri dalam sfigmomanometer adalah tinggi. Bacaan ini adalah tekanan darah sistolik (misalnya 120mm Hg).
(g) Tekanan dalam kuf diturunkan lagi sehingga kurang daripada tekanan terendah dalam arteri pada akhir diastol. Darah mengalir tanpa gangguan semasa sistol dan diastol. Bunyi
denyutan akan berkurangan sehingga sampai ke tahap kesenyapan. Kesenyapan ini adalah tekanan darah diastolik. Paras merkuri dalam sfigmomanometer menurun pada paras lebih rendah. Ini adalah bacaan tekanan darah diastolik (misalnya 80mm Hg). Dengan itu bacaan tekanan darah ialah120/80 mm Hg.


Hipertrofi dan atrofi jantung

Saiz jantung setiap individu berbeza. Jantung individu boleh bertambah besar atau mengalami hipertrofi jika individu tersebut mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan latihan fizikal secara konsisten dan
berterusan. Saiz jantung seseorang atlit yang aktif adalah lebih besar berbanding saiz jantung individu sedentari. Apabila hipertrofi jantung berlaku, ketumpatan kapilari juga meningkat.
Hipertrofi jantung adalah kesan daripada:
(a) Penambahan saiz kaviti ventrikel-ventrikel
(b) Bertambah ketebalan dinding ventrikel
Atlit-atlit berdaya tahan tinggi seperti perenang dan pelari jarak jauh mempunyai kaviti ventrikel yang besar. Oleh itu, isipadu darah dalam ventrikel adalah banyak semasa diastol. Isipadu strok atlit-atlit ini adalah lebih tinggi berbanding dengan individu-individu sedentari dan juga atlit-atlit yang terlibat dalam acara eksplosif.

Atlit-atlit yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti rintangan tinggi seperti gusti atau melontar peluru mempunyai dinding ventrikel yang tebal. Walaupun hipertrofi jantung atlit-atlit ini adalah sama dengan atlit berdaya tahan tinggi, isipadu strok mereka adalah sama dengan individu-individu sedentari.

Atrofi jantung berlaku apabila otot jantung mengalami pengurangan dari segi saiz , kekuatan, dan berat. Ianya terjadi disebabkan jantung kurang digunakan bagi aktiviti fizikal. Atrofi jantung juga boleh berlaku apabila
jantung mengalami kerosakan atau penyakit.

1 comment:

  1. Tahniah SMK Bukit Rambai,usaha yangbmemberi berfaedah kepada pelajar Sains Sukan yang lain.

    ReplyDelete